Thursday, January 30, 2014
duit belanja ayah...
Salam, ni dah tak tau kali keberapa dah cuba buka calendar duit belamja ayh..takleh buka le, apa takde cara yg lebih mudah ke ...
Thursday, January 23, 2014
Wednesday, January 22, 2014
Mak, maafkan Aziz..
Uji, Air mata abang tumpah lagi. Tiap kali abang baca watsup Uji. Ini dah berapa kali abang baca. Kat kedai makan abang baca, pun sama. Tadi abang makan kat Bangi sebab urus rumah sewa ayah. Masa balik abang nampak Uji jalan sorang-sorang tepi jambatan. Abang braek emergensi, parking tepi jalan. Nak undur kereta tak boleh, jalan sehala, Abang tanya anak, takde yang perasan. Kak Wati kata orang lain. Abang tak puas hati. Tiga empat abang tanya, dia cakap bukan Uji. Tu yang abang watsup semua, tanya Uji kat mana. Alhamdulillah Uji kat rumah mak. Rupanya yang tadi tu orang lain. Abang risau sebab Uji ada watsup kata..” anak2 lelaki beruntung sebab ada sebab teruskan hidup- boleh berbakti pada ayah, tapi uji kena berbakti pada bapa mertua..”
Uji, terimakasih banyak sebab jaga mak dengan komited sekali. Uji rajin, prihatin dan sentiasa tahu apa nak buat. Abang memang tak pandai. Bila turn abang jaga mak, nak balik abang minta maaf. Abang kata..”Mak, maafkan Aziz. Aziz tak pandai jaga mak macam anak2 mak yang lain..” Abang tahu mak tak marah, tapi abang minta maaf juga. Kemudian, mak pulak minta maaf dengan abang. Abang kata tak payahlah mak. Mak takde salah apa-apa. Lepas tu abang kucup dahi mak, pipi mak. Tapi abang tak pandai. Tak sama dengan kucupan anak2 lain. Mak tarik abang, dakap abang, cium dahi, pipi abang. Penuh perasaan. Ciuman mak berbeza. Mak pandai, mak ikhlas. Mak tunjuk cara yang betul..
Mak tanya bila nak datang lagi. Abang bagitahu mak bila. Mak ucap terimakasih. Abang cakap takpelah mak, Aziz yang patut cakap terimakasih. Setiap kali abang jaga, mak tak lupa ucap terimakasih walaupun sebenarnya tak perlu.
Uji, abang sangka abang kuat. tabah, keras hati. Rupanya tidak. Tiga tahun lepas, masa mak mula sakit. Abang telepon adik Midah. Abang diam je. Midah heran. Dia tanya kenapa diam? Abang cakap, abang susah nak cakap. Hati sebak. Abang tak nangis. Abang memang jenis susah nangis. Lepas sepuluh saat, baru abang bagitau mak sakit. Lepas tu abang banyak doa, minta mak dipanjangkan umur. Sebab abang nak berbakti pada mak. Bila mak baik, takde apa sangat yang abang buat untuk mak pun…
Dua minggu lepas kaki mak sakit. Dua2 belah. Angkat sikit sakit. Abang urut2 betis mak, peha mak. Lepas tu ada kurang sikit. Baru boleh mengereng. Kahak mak banyak. Abang ajak mak borak. Bila mak cakap, abang selalu tanya balik. Abang saja biar mak terus cakap. Nanti mak bernafas kuat sikit. Harap2 Co2 dalam badan mak boleh keluar lebih. Lepas tu abang buat-buat tak faham. Mak marah. Mak cakap, “ Engko ni tak fahamlah Aziz mak cerita!” Mak nafas kuat bila marah. Co2 keluar lagi.. Lepas tu mak batuk, keluar lendir. Abang cuci, lap dengan tisu basah. Mak lega sikit. Abang suap mak makan bahulu. Mak mahu makan. 5 biji mak makan..
Rabu lepas pulak masa abang jaga mak, kesihatan mak makin merosot. Noni cakap mak taknak makan. Pagi makan roti sekerat aja. Abang bagi mak makan, mak kunyak sikit lepas tu mak macam tak sedar. Abang takut mak tercekik. Abang suap air pakai sudu. Mak boleh minum sikit-sikit. Itu pun tersedak-sedak. Abang suruh mak hirup. Abang takut masuk paru-paru. Mak hirup pelan-pelan. Dalam susah payah. Kesian mak. Abang tahu mak taknak kecewakan abang. Walaupun payah, mak mencuba sepenuh hati. Mak separuh sedar. Tapi bila abang panggil, mak macam cuba juga nak sahut panggilan abang. Mak bergarit sikit. Kelopak mata mak sikit nak terbuka. Bila suruh minum, mak cuba juga minum. Mak cuba buka mata. Kecil aja. Tapi mak tak larat. Mak takde tenaga sebab mak tak makan. Mak memang seorang ‘fighter’. Dari muda lagi. Abang bagi ubat puff kat mak. Tapi mak macam tak sedut pun. Pukul satu pagi abang kejut mak. Abang bagi mak minum susu pakai botol. Mak mahu minum. Alhamdulillah hampir sebotol. Abang lega sikit..Lepas tu mak cakap siapa datang tu. Abang cakap takde orang datang. Kita je kat dalam bilik ni. Mak cakap tu kat depan tu kan orang! Mak sua mulut. Tapi memang takde orang pun. Lepas tu mak tidur..
Dalam pukul tiga pagi mak terjaga. Mak cakap “Aziz kita ni dah mati.” Abang tanya..”sapa mak?”. “Kita ni semualah..kan kita ni dalam kubur..!”, kata mak lagi. “Takdelah mak, kita kat rumah”, jawab abang..
Pagi abang mandikan mak dengan Noni. Abang cuba buka gigi palsu mak. Tak boleh. Abang tak pandai. Noni ajar abang buka gigi palsu mak. Abang berus gigi mak. Abang suruh mak kumur2. Tapi mak terlalu lemah untuk kumur2, mak macam nak tertelan air kumur tu. Lepas tu abang angkat mak dengan Noni. Pinggang abang dah tak kuat. Pinggang tua. Sejak kena demam panas seminggu, dah lama dah..dia ‘tangkap’ pinggang’. Abang silap step. Jatuh terduduk. Noni menjerit. Abang tak lepaskan mak. Mak ok. Lepas tu kami bawa mak ke bilik. abang lap rambut mak, pakaikan baju mak. Selebihnya Noni siapkan mak. Abang memang tak pandai..Mak Nampak segar sikit lepas mandi..
Hari Ahad abang pergi tengok mak. Kahak mak banyak. Petang 5.30 pm abang dengan Isa bawa mak ke klinik Azzahrah. Isa dukung mak. Isa kuat. Abang tak kuat macam Isa. Doktor bagi nebulizer. Doktor kata memang itu aja cara yang boleh. Atau sedut kahak melalui tiub. Kami tak mahu tiub. Nanti mak trauma. Doktor suruh bawa ke hospital. Kami tak mahu. Kami ingat pesan mak. Lepas guna nebulizer, mak ok sekejap. Doktor cakap kahak dah clear. Lepas tu mak pengsan balik. Kami bawa pulang. Sampai rumah dengar dada mak bunyi semula. Kahak mak ada balik..
Hari Rabu 10.47 abang Man mesej “Salam, Mak pengsan x blh jaga langsung, its good if we can be at mom’s side now, god knows what will happen!” Mulanya abang anggap biasa, sebab sebelum ni dah terjadi beberapa kali tapi mak sedar semula. Dalam setengah jam abang Man telefon, Tanya nak bawa ke hospital ke, abang kata jangan. Sebab doctor dah habis ikhtiar. Sekarang kita anak-anak tinggal nak bagi keselesaan pada mak. Mak pun dah pesan banyak kali, mak taknak masuk hospital lagi. Mak kata misi ambik darah mak bagi derma kat orang lain.
Lepas tu abang baring. Ingat nak tidur jap. Abang memang tak prihatin. Sebenarnya dah tiga malam abang tak berapa tidur. Pukul sebelas lebih abang tak sedap hati. Check hp, mesej abang Man pukul 11.32…”Salam, nafas mak dah pendek” Abang pun tukar baju terus pergi rumah mak. Kat rumah mak, abang tengok Abang Man, Isa, Ishak, Hairul dan Saiful semua dah ada. Abang ajar mak mengucap, lepas tu abang baca ayat dari Surah Albaqarah seperti Abang Yunus pesan. Keadaan mak dah tak bagus. Nafas mak pendek, mak penat bernafas. Nafas dengan mulut. Mak buka mulutkecil aja, mencungap. Abang check kaki mak, tengok buku lali mak dah jatuh, abang tak sedap hati. Picit betis mak. Kurus, tinggal secebis otot longlai..
Abang tengok tangan mak. Lengan mak pun kurus. Tak ada isi dah. Kesan lebam parut jarum hospital masih jelas. Tak sudah-sudah kena ambik darah. Jadi macam bahan experiment. Jari mak tambah bengkak. Kali ni bukan bengkak aja, tapi dah jadi biru. Tangan mak panas, badan pun panas. Abang dekatkan bibir ke telinga mak. Abang cakap kat mak”Igat tuhan mak, hanya Allah yang berkuasa, tidak ada yang lain2..”Abang ulang2 lagi. Lepas tu abang cakap, kalau ada nampak orang ganggu mak, itu syaitan. Jangan ikut cakap dia mak. Ingat hanya Allah yang maha kuasa.
Lepas tu, kaklong datang. Kaklong tanya dah baca ayat surah Albaqarah? Abang cakap dah. Lepas tu kaklong tengokkan mak. Abang baca lagi ayat surah Albaqarah ulang-ulang. Lepas tu abang keluar ambil wudhuk. Anak-anak lelaki mak bergilir-gilir bisikkan syahadah ke telinga mak. Mata mak pejam. Nafas mak pendek. Keadaan mak sebenarnya lebih baik kalau dibanding dengan orang lain yang abang pernah tengok . Dada mak berombak sikit je. Jadi masih terdetik harapan mak akan sedar semula. Abang memang tak pernah putus asa.
Lepas tu abang ambil wudhuk. Solat hajat. Minta jika umur mak panjang, moga diberi kesihatan yang baik. Tetapi kalau tak panjang, abang minta agar urusan mak dimudahkan. Lepas solat abang check tangan mak. Sejuk! Terkejut abang! Takut sesuatu yang kurang baik. Abang tanya kaklong. Rupanya kaklong baru lap mak dengan air zam-zam.
Abang check nadi mak, oxygen mak. Bacaan oxygen makin rendah..70, 60, 50…sampai 30++ kami cemas. Abang test kat tangan abang. Tengok bacaan normal. Abang test kat tangan Saiful. Pun normal juga. So, alat tu berfungsi betul. Tak lama, bacaan mak naik balik dan stabil kat 70++.
Bila bacaan mak nampak macam ok sikit, mulalah anak laki-laki sebok nak makan. Pizzalah, Mc Donaldlah, padahal mak terbaring sakit kat sebelah. Kami memang tak prihatin. Abang beri duit kat Hairul, dia beli Mc Donald. Makan sama-sama Sampai pukul 3.30, mata abang dah tak tahan. Penangan Mac Fish siap dengan curly fries. Abang tersandar kat sofa. Abang tengok kaklong masih jaga. Lain2 semua dah menyandar. Lepas tu abang tertidor. Abang rasa semua yang makan Mc Donald pun tertidur. Maafkan Aziz mak.. masih sempat nak makan Mac Donald walaupun mak tengah berjuang..Agaknya syaitan tadi tu kacau mak tak jalan, dia pergi kacau abang suruh makan lak. Padahal, bukanlah lapar sangat. Dah makan pun kat rumah tadi..
Pukul 6.30 pagi, abang bangun. Abang tengok Abang Man dan kaklong dah takde. Mungkin balik kejap. Abang kejut Isa dan Saiful bangun subuh. Lepas solat, abang lap muka mak. Ada macam air mata kat mata mak. Abang lap, tak mahu hilang. Bukan tahi mata sebab jernih macam kristal. Air mata pun bukan, sebab kental..Abang lap banyak kali baru kristal2 kat mata mak hilang. Abang check bacaan oxygen mak, pulse mak. Improve. Abang tengok jari mak, dah tak biru lagi. Abang sangka mak makin baik. So abang pun baliklah hantar anak pergi sekolah.
Lepas hantar anak ke sekolah, Hairul telefon, ajak minum kat Azizah. Abang pun naik motor Kriss pergi sana. Abang tengok Abang Man, Isa, Hairul tengah sarapan. Abang makan biskut oat aja sebab abang diet. Kolesterol abang tinggi. Baru sepuluh minit lepak, tiba2 Isa bangun cepat2 dan terus bayar. Isa bagitahu makcik kedai apa yang dah bayar, apa yang belum. Tiba-tiba makcik kedai cakap kasar macam marah…”awak jangan takutlah. Saya tahu apa yang awak dah bayar, apa yang belum!” Tapi Isa buat tak reti. Selalunya dia baran. Lepas tu Isa balik. Abang pun ikut balik.
Sampai rumah mak, abang tengok Noni kat luar bilik. Muka dia muram semacam. Abang cemas. Noni cakap..”Mak dah takde bang!” Abang tak pedulikan Noni, cepat-cepat abang masuk bilik. Tengok abang Man tengah nangis check nadi mak, leher mak. Abang Man keluar bilik dan terus keluar rumah. Abang dengar dia tempik kuat macam lepas geram. Abang terpinga-pinga. Abang tak tahu nak buat apa. Isa ada, Sahak ada, Hairul ada.Saiful pun ada. Tapi abang rasa macam berdua aja dengan mak. Abang tak nampak orang lain. Abang panggil-panggil mak. Mak tak jawab. Mak dah tak bernafas.k Lepas tu abang dakap mak. Abang tak nangis. Abang kucup dahi mak, cium pipi mak.
Tak lama abang Man masuk rumah tanya, nak buat repot polis ke? Abang cakap..”Entahlah…Aziz tak tahu hal-hal macam ni..” Abang Man pergi balai polis dengan Hairul. Lepas tu kaklong datang. Kaklong nangis. Kaklong pun sangka keadaan mak akan bertambah baik. Kaklong cakap, kaklong tunggu sampai lepas subuh, keadaan mak sama, jadi kaklong balik dulu. Kaklong tanya..”dah buka gigi palsu mak?”. Abang cakap tak tahu. Kaklong tambah nangis. Memang abang ni tak tahu apa-apa. Lepas tu kaklong check gigi mak..dah buka. Noni dah buka. Abang ambil wudhuk. Abang baca Yassin. Belum sampai separuh, Hj Yusoff ketua kampong datang. Dia tanya nak urus di rumah atau di masjid. Kaklong kata nak tunggu bincang dengan adik-beradik. Lepas tu abang berhenti baca Yassin. Hj Yusof tanya abang nak buat urus kat masjid tak?. Abang dengar je cakap Hj yusof, angguk-angguk macam burung belatuk. Akhirnya Hj Yusof kata buat kat masjid lebih baik. Abang angguk lagi..
Abang telefon Abang Mail, Abang Md Noh, Abang Yunus. Suara abang susah nak keluar. Pelan je..sebak. Semua dah maklum. Abang Yunus kata dia nak tengok mak. Dulu dia tak sempat tengok nenek. Abang Yunus minta tunggu. Abang cakap pukul dua belas jenazah bawa ke masjid. Lepas tu solat zohor di sana. Insya allah ramai yang ikut solat. Abang suruh Abang Yunus terus ke masjid kalau lambat. Abang Md Noh on the way. Abang Mail kat Bintulu. Dia tak sempat..Abang mesej Andak suruh bawa kereta hati-hati..
Kaklong check lampin mak dan semuanya. Lepas tu kaklong suruh angkat ke ruang depan. Abang, Saiful dan Yazid angkat dengan tilam2 sekali. Kaklong cakap, buat apa nak angkat tilam. Kan kat depan dah ada tilam. Nasib baik kaklong tegur. Kalau tak tilam tu sangkut kat pintu bilik sampai petang. .Lepas tu kami bertiga angkat mak letak di ruang tamu. Abang letak kepala mak ke arah kiblat. Kaklong cakap..bukan macam tu. Kaki kearah kiblat, macam nak bangun solat mengadab kiblat.
Abang betulkan kedudukan jenazah mak. Kaklong betulkan mulut mak, ikat kepala mak dengan kain putih. Abang betulkan mulut mak. Kaklong suruh ambil serkop mak. Abang masuk bilik nampak serkop hitam tiga helai dalam rak baju. Abang ambik sehelai bagi kat kaklong. Air mata kaklong laju keluar..”Mak nak pakai serkop putih!”, marah kaklong sambil menangis kuat. Abang pergi cari serkop putih tak jumpa. Kat tempat baju takde, kat ampaian takde. Abang cari barang tak pernah jumpa. Yang abang jumpa Noni. Noni tolong cari serkop putih mak. Abang bagi serkop putih pada kaklong. Kaklong ikat kepala mak pelan-pelan. Kaklong kata..” Mak dah pesan, nak pakai serkop putih…”Air mata kaklong bercucuran keluar. Abang angguk lagi. Macam burung belatuk juga. Abang tak nangis. Abang macam budak sepuluh tahun. Suruh buat, buat. Asal ada, main capai je. Lepas kaklong selesai, abang dakap mak lagi. Abang kucup mak. Abang cium mak. Abang tengok wajah mak berseri. Mak macam tidur. Tenang. Kulit mak putih. Masa hidup, kulit mak gelap. Kemudian kaklong tutup muka mak dengan kain putih.
Lepas tu abang mundar-mandir. Kejap ke dapur, kejap ke depan. Semua tak kena. Kejap masuk bilik pulak. Tengok bantal mak, tilam mak. Masih ada kat situ. Syiling pun masih ada kat situ Kawan-kawan abang datang. Diorang baca Yassin. Lepas tu abang ambil wudhu. Abang baca Al-Quran. Abang baca surah-surah pendek belah-belah belakang. Dengan terjemahan sekali. Barulah abang nangis. Rupanya abang kalah dengan Alquran. Air mata abang laju turun. Tulisan Quran tu kabur, abang tak nampak. Pasal air mata abang banyak sangat. Abang baca pelan-pelan. Suara abang tersekat-sekat. Dada abang berat, nak habis satu ayat pun lama. Tapi abang gagahkan baca..
Abang Md Noh pun baca quran sebelah abang. Abang tengok abang Md Noh tenang aja, tapi abang memang payah. Banyak kalai berenti- berenti. Dada abang terhenjut macam kereta lama ayah. Susah nak start. Akhirnya dalam pelan-pelan banyak juga surah yang dapat abang baca. Lepas tu kaklong tanya sapa yang pandu kereta jenazah. Abang cakap tak tahu. Abang telefon Hj Yusof. Dia kata van on the way. Ada orang bawak kereta jenazah. Hj Yusof suruh cari daun pandan. Nasib baik Shauki ada. Abang suruh dia cari daun pandan tu. Abang cari tentu tak jumpa..
Pukul dua belas van jenazah sampai. Kami angkat ramai-ramai jenazah mak. Mak ringan. Badan mak tinggal tulang. Mak memang tak pernah susahkan orang. Hatta selepas meninggal pun, mak tak susahkan orang. Senang angkat mak. Kemudian nak pergi masjid. Abang tak jumpa kereta abang. Wife pun abang tak perasan. Anak2 entah ke mana. Padahal mereka semua ada kat situ. Abang tumpang Isa pergi masjid.
Sampai Masjid abang panggil adik-beradik lelaki mandikan mak. Akak yang incharge mandi tu mula-mula tak benarkan lelaki masuk. Abang dan Isa masuk juga. Kami minta izin nak tolong mandikan. Kakak tukang mandi tanya, sapa sahkan mak mati? Ada doctor check ke? Abang cakap takde. Kemudian abang cari Dr Yusof tapi tak jumpa. Abang minta Hairul telefon. Kakak tukang mandi kata badan mak ni panas. Macam orang tidur. Sebab tu dia tak berani mandikan sebelum pengesahan. Lepas tu Abang Man masuk. Abang Man kata surat kematian dah keluar. Dotor tak datang check sebab mak dah lebih 60 tahun. Baru Akak tukang mandi mahu mandikan mak.
Kemudian anak-anak lelaki yang lain semuanya masuk. Kita semua mandikan mak sama-sama. Termasuk dengan menantu perempuan. Abang lap badan mak. Badan mak hangat. Sendi-sendi mak lembut. Kulit mak jadi putih. Abang lap telinga mak. Abang lap celah-celah jari mak. Semuanya lembut. Kulit mak halus. Abang lap badan mak dengan sabun. Abang ratakan air ke seluruh badan. Pelan-pelan. Abang takut mak sakit. Bila erengkan mak, kesian abang tengok. Belakang mak, kudis baru nak baik. Tapi merebak semula sebab mak lama terbaring. Tapi mak tak pernah mengadu sakit dengan abang. Malah masa mak sakit belum kritikal, mak tak mahu abang mandikan mak. Mak kata takpelah..anak perempuan ada. Takpelah, Noni ada. Abang tahu mak malu dengan abang. Walaupun sakit, harga diri mak tinggi.
Kemudian akak tukang mandi tekan perut mak. Takde najis pun. Mak memang tak susahkan orang. Kata kaklong, tiga hari sebelum mak meninggal, mak makan pisang yang abang beli. Lepas tu mak buang air besar. Banyak. Mak dah keluarkan semuanya... Lepas mandi, kaklong wudhukkan mak. Kemudian, abang pergi tukar baju. Dah nak masuk waktu zohor..
Lepas mandi dan disiapkan, jenazah mak dibawa keluar ke ruang serambi masjid. Abang terkejut tengok betapa cantiknya mak! Mak senyum. Mak macam tidur. Wajah mak bercahaya. Kulit mak halus putih bersih. Lepas tu abang nampak Uji. Abang peluk bahu Uji, keras je. Uji dalam dunia sendiri..Abang Yunus baru sampai. Abang Yunus kucup cium mak. Lepas tu abang pun ikut kucup cium mak buat kali terakhir. Kemudian yang lain2 anak cucu pun cium mak.
Wajah mak bersih. Mak banyak amal. Mak tak pernah biar orang datang rumah tanpa jamu makan. Walaupun mak susah. Bangla datang rumah pun mak bagi makan. Tidak2 pun, air kosong mesti hulur.. Bab solat, mak jaga. Belum azan mak dah tunggu atas sejadah. Mulut mak komat-kamit berzikir. Puasa mak tak pernah tinggal. Bila kita adik-beradik periksa, mak nazar puasa. Kita dapat kerja pun mak nazar. Mak tak pernah tangguh. Mak tak kedekut duit, walaupun mak susah. Tiap2 jumaat mak derma sepuluh ringgit. Zaman dulu besar tu. Lepas tu mak suruh abang beli pisang sedekah kat masjid.
Uji, cerita Uji pasal ikan sardine tu memang sedih. Abang tahu mak tak makan ikan sardine. Abang sangka mak tak lalu sebab makanan tin. Rupa-rupanya sebab abang juga. Mak terlalu sedih nak makan ikan sardine. Masa kita kecik, memang susah. Macam cerita Uji. Duit mak tinggal seringgit aja. Mak suruh kaklong pergi kedai beli gula. Kaklong bawa abang. Abang nangis nak main tikam2. Kaklong tak bagi. Abang guling2 ats tanah. Siap meraung2. Kaklong belikan tikam2. Lepas tu tikam2 menang ikan sardine.
Sampai rumah mak masak ikan sardine tu. Mak tak sanggup makan sebab terlalu sedih. Agaknya mak dalam dilema. Kat rumah memang takde lauk lain. Masa tu memang biasa makan nasi dengan kicap je. Kadang-kadang kicap pun habis, abang makan dengan garam. Sebab tu abang bantut agaknya.
Kadang-kadang pergi main kat rumah ketua kampung. Time makan, anak ketua kampung ambik pinggan. Abang dengan Abang Man pun ambik pinggan. Abang duduk atas kerusi tunggu giliran amik nasi. Datang makcik isteri ketua kampung, dia simpan balik pinggan tu. Makcik ketua kampong suruh kami balik. Makcik ketua kampung kata, nanti mak cari kamu. Abang taknak balik. Abang nak makan kat rumah ketua kampung. Kat rumah ketua kampung ada lauk. Kat rumah mak takde lauk. Rumah ketua kampung lauk macam-macam. Rumah ketua kampung lauk sedap. Abang Man pun taknak balik. Kami tak faham. Isteri ketua kampung pimpin tangan abang sampai depan pintu. Lepas tu dia suruh balik..
Ketua kampung pun sama. Abang teman ayah pergi rumah dia. Ayah panggil-pangil. Ayah nak pinjam duit. Ketua kampung banyak duit. Rumah ketua kampung besar. Rumah ketua kampung ada lauk sedap-sedap. Bagi salam takde orang jawab. Selipar kat tangga banyak. Abang bagi salam kat kawan. Takde jawab jugak. Abang heran sebab pagi tadi abang main dengan anak ketua kampung. Dengar macam orang bisik-bisik kat dalam. Ayah duduk kat tangga setengah jam. Lepas tu ayah balik..
Ada masa-masa beras pun habis. Mak takde duit nak beli. Mak suruh abang pinjam dengan Mak Uda. Mak Uda baik. Mak Uda pun susah tapi Mak Uda selalu bagi pinjam beras. Mak Uda tak macam makcik isteri ketua kampung. Abang bawa tin susu kosong. Nanti Mak Uda penuhkan tin susu tu. Lepas tu abang balut dengan kain. Mak pesan tutup jangan bagi orang nampak. Abang jalan pelan-pelan. Abang tak lari takut nanti jatuh beras tumpah. Mak dah pesan..
Sampai rumah mak masak bubur. Abang Man dengan Abang dah bersila tunggu bubur nasi. Bila siap, mak suruh abang dengan abang Man makan. Mak cakap mak dah makan. Abang tak pernah Tanya pun. Abang tak pernah kesah mak dah makan ke belum. Abang Man pun laju je makan bubur nasi. Abang kecik lagi. Abang tak faham apa-apa. Sebenarnya mak tak makan. Pada mak, mak tak makan takpe asalkan anak-anak mak makan. Mak masak separuh je beras tu. Mak nak jimat. Kaklong pun tak makan. Agaknya dia terlalu sedih nak makan. Kaklong faham. Kaklong dah besar sikit..
Bila abang dah besar sikit, mak selalu suruh cari pucuk paku, pucuk ubi, udang buat lauk. Abang selalu jual nangka nak tampung belanja sekolah. Bukan tu aja- petai, rambutan, kuih dan segala macam abang jual dari rumah ke rumah. Hari raya ketiga pun abang dah start jual petai. Orang kampong ketawakan abang sebab jual petai masa raya. Diorang pun tak prihatin jugak. Orang kampung pun macam ketua kampung. Orang kampung tak macam Mak Uda. Tapi abang terpaksa jual jugak sebab takut nak balik rumah nanti mak marah..
Walaupun mak susah, mak pernah minta-minta. Mak ada pinjam duit, tapi semua mak bayar balik. Mak tulis hutang dalam buku tiga lima. Bila dah bayar, mak tanda dalam buku tiga lima. Makcik Limah Ayam dengan makcik Nab kedai cat putih selalu bagi mak hutang barang. Makcik Limah Ayam dengan makcik Nab kedai cat putih tahu mak selalu bayar balik. Bila gaji, mak tak lupa bayar hutang makcik Limah Ayam dengan Makcik Nab kedai cat putih..
Tapi kita adik-beradik selalu tak ingat mak. Selalu gaduh. Depan nasi pun kita gaduh. Mak runsing. Mak kata jangan gaduh depan nasi. Lepas tu mak nangis. Mak kata biarlah mak pergi. Mak macam nak lari. Abang nangis. Abang paut kaki mak. Abang cakap, mak jangan pergi. Abang janji taknak gaduh. Ateh paut kaki satu lagi. Kaklong pegang tangan mak. Abang Man..abang tak nampak. Abang Man selalu merayau.. Lepas tu mak tak jadi pergi. Mak tak sampai hati nak tinggalkan kami kecik2. Masa tu Uji pun belum ada.
Ada satu petang mak marah sangat. Kami adik beradik tak dengar cakap mak. Selalu gaduh. Mak kata nak pergi. Abang paut kaki mak, Ateh paut kaki satu lagi. Kaklong pegang tangan mak. Pujuk. Abang Man macam biasa- merayau lagi. Kali ni mak pergi jugak. Mak tarik tangan, abang paut kuat-kuat kaki mak. Mak tarik lagi. Tangan abang terlepas. Abang tak kuat paut kaki mak. Ateh lagi tak kuat paut kaki mak satu lagi. Lepas mak pergi, semua diam. Kaklong cakap ..itulah korang, asyik gaduh je.. Malam kami tidur sendiri. Tapi bila pagi tengok mak dah ada kat rumah. Rupanya mak balik malam tu lepas kami tidor. Mak memang tak sampai hati nak tinggalkan anak-anak mak..
Abang memang tak ingat janji dengan mak. Mak bagi duit, abang ponteng sekolah. Lepas tu pergi curi rambutan, durian orang. Bila dah masuk U, mak bagi duit abang main video game, main boling, hisap rokok. Satu hari mak tanya..betulke abang hisap rokok? Abang jawab ye. Mak tak marah pun. Mak cakap, nak hisap rokok, hisap. Tapi jangan minta rokok dengan orang lain. Kadang-kadang mak belikan rokok. Mak memang tak suka anak-anak mak meminta-minta. Sebab tu bila Sahak hisap rokok, mak belikan rokok, abang tak heran. Abang tak ingat janji dengan mak, abang selalu minta rokok dari kawan. Sebab abang takde duit nak beli rokok..
Memang mak garang. Mak pukul dengan rotan abang tak nangis. Mak geram, mak pukul lagi. Abang buat-buat nangis. Sebenarnya abang tak nangis. Tapi kalau tak nangis, mak tak berenti pukul. Satu hari mak pukul abang dengan batang penyapu. Kena kat pinggang. Lebam. Abang tak lari. Bila malam, mak sapu minyak Afiat kat pinggang. Mak nangis. Abang tak tidur. Abang buat-buat tidur. Esok badan abang panas, mak beli kortal suruh makan..
Ayah jarang ada kat rumah. Kadang2 berminggu. Sekali tu, abang duduk kat bawah almari dapur. Tiba-tiba ayah muncul. Abang pegang kaki ayah minta dukung. Abang rindu kat ayah. Ayah dukung kejap, ayah letak balik. Abang minta dukung lagi, tapi ayah tak pandang pun abang. Ayah cakap-cakap dengan mak kejap. Lepas tu ayah keluar semula.
Mak tunggu ayah balik. Mak nak minta duit belanja. Untuk anak-anak. Tapi ayah tak balik. Malam-malam mak macam ternampak-nampak ayah balik. Ayah tak masuk rumah. Ayah duduk kat luar. Mak panggil-panggil, ayah tak sahut. Lepas tu ayah pergi. Mak panggil lagi. Mak kejar sampai hujung jalan. Ayah hilang. Sebenarnya ayah tak balik. Mak yang trauma. Mak terlalu mengharapkan ayah pulang sampai ternampak-nampak ayah pulang..
Bila abang dah kerja, oklah sikit. Bagi duit kat mak, mak guna balik duit tu untuk beli baju abang, baju anak abang. Kain pelikat abang semua mak yang beli. Abang takde beli sendiri sebab dah banyak. Semuanya mak dah belikan. Sampaikan seluar dalam pun mak belikan..
Abang cakap dengan mak, tak payahlah belikan. Tapi mak cakap takpelah. Pernah dapat bonus lebih sikit bagi mak duit, pun habis mak beli untuk anak cucu. Dengan almari pun mak beli untuk anak cucu. Mak tak ambil pun duit tu.
Kalau bab makan, mak memang pemurah. Lepas kahwin abang tinggal rumah sewa Sumarandang, dekat dengan rumah mak. Hari-hari mak hantar lauk. Abang cakap tak payahlah mak susah-susah hantar lauk. Wati boleh masak sendiri. Tapi mak tetap juga hantar. Mak tahu abang suka masakan mak.
Pergi rumah mak, mesti mak suruh makan. Kalau takde lauk pun, kurang-kurang mak mesti masak telor mata kerbau. Padahal mak dah tua. Patutnya mak berehat je. Dalam peti ais mesti ada telor dengan kentang. Stok tak pernah putus. Sebab mak tahu abang suka makan telor dengan kentang. Masa mak sakit, abang pergi rumah mak. Abang goring sendiri mata kerbau. Abang makan dengan nasi dan kicap. Makan kat rumah mak macam tu pun dah sedap. Tak payah lauk macam2.
Uji, kemudian kita solat zohor, kita solat jenazah mak sama-sama. Abang suruh adik beradik lelaki solatkan mak. Abang cakap jangan sampai miss solatkan mak. Lepas tu jenazah mak diangkat masuk van semula. Abang umum agar semua hadirin maafkan kesalahan mak, halalkan makan minum dan tuntut hutang dengan waris jika ada. Juga abang jemput untuk tahlil arwah malam nanti.
Pada semua adik-beradik abang pesan, lepas kebumi selesai, jangan balik dulu, Kita doa adik-beradik. Abang pergi ke kubur dengan Kak Wati. Pasal abang dah jumpa dia. Kesian Kak Wati. Abang selalu tecicir dia. Masa naik feri pergi Pangkor pun, abang tinggalkan dia. Abang dah naik ferry, tengok2 Kak Wati tertinggal. Abang memang tak pandai jaga hati orang. Sampai simpang sungai ramal dalam, abang terlajak. Nasib baik ada satu simpang kecil sebelum simpang BBB. Abang terus lipat masuk. Kat kubur, abang tengok Sahak, Abang Man dan Hairul dah masuk dalam kubur. Cepat betul diorang ni bertindak. Abang tak dapat nak masuk. Kang ramai sangat, kecoh pulak dalam kubur tu. Abang bantu cangkul tanah dari atas je. Itu pun sekejap je..ada orang nak ganti abang..
Uji, cuaca redup je sepanjang hari. Imam baca talkin dan doakan mak. Kita aminkan sama-sama. Bila semua sedara-mara dah pulang, abang panggil semua adik-beradik, ipar-duai berkumpul. Abang minta Abang Md Noh mulakan, dia serah kat abang. Begitu juga Abang Yunus, abang Man dan kaklong. Semuanya tunduk. Semuanya serah kat abang. Abang baca doa. Korang semua aminkan. Lepas baca doa, abang minta kita terus berbakti pada mak..dengan cara menjadi anak yang soleh dan solehah. Abang tengok airmata Andak mencurah-curah. Abang bukan nak buat korang sedih. Abang minta kita semua beri perhatian dan kasih-sayang pada ayah. Kerana ayah masih ada. Selama ini kita kurang memberi perhatian pada dia. Walaupun ramai tak puas hati dengan ayah, tapi itu semua dah lama berlaku. Berkali2 abang ulang…kita tahu apa yang penting. Kita patut focus pada apa yang penting. Abang toleh cari ayah…ayah dah pulang. Abang Md Noh kata-kata, entah2 ayah rasa tersisih..lepas tu abang tanya ada sapa2 nak tambah. Semua diam. Abang Md Noh pun tunduk je. Makin tua abang nampak dia..
Begitulah Uji. Mak boleh jaga kita sepuluh beradik. Kita sepuluh beradik takleh jaga mak sorang. Dulu mak susah. Hari-hari bangun pukul dua pagi. Masak nasi, masak lauk. Lepas tu pergi kerja kilang roti. Pukul sebelas mak balik buat kerja rumah tak henti-henti sampai pukul lapan malam. Lepas tu mak dah siap-siap nak tidor lepas solat Isyak. Mak tak pernah berehat. Cuma tidur rehat mak, itu pun kena awal sebab nak bangun semula pukul dua pagi besok. Bila mak sakit, mak kena demam pening pun mak pergi kerja juga. Mat tak cuti. Mak gaji hari. Kalau tak kerja, takde gaji. Sebulan adalah lebih sikit dari dua ratus ringgit. Macam tulah tiap-tiap hari pasal nak cari duit belanja sekolah kita sepuluh beradik.
Uji, pagi besoknya kepala abang sakit. Tak jadi kerja sampai ke petang. Abang kat rumah aja. Abang tak pergi mana-mana. Abang memang tak kuat macam mak. Sakit sikit boleh ambil mc. Nampak garam bukit belikan untuk mak. Itupun abang lupa nak bagi. Terletak atas meja dalam bungkusan. Ingatkan apa benda tadi. Abang memang tak pandai layan mak. Masa hidup tak pandai, masa mak meninggal pun abang tak pandai layan.
Bila pergi rumah mak, abang masuk bilik mak. Tengok barang-barang mak habis licin korang sapu. Abang nak peluk bantal mak, bantal mak dah takde. Abang nak tengok mesin mak, korang dah letak tempat lain. Kain baju mak, korang dah cop. Yang tinggal cuma kipas syiling. Abang tak pandai tanggalkan kipas tu. Abang tahu korang sayangkan mak. Tak boleh tidur macam abang jugak. Ambil bantal peluk mak buat tidur baru boleh tidur. Tapi kalau boleh, letaklah barang tu macam sediakala. Abang nak solat kat bilik tu, nak baca quran kat bilik tu. Nak rasa kehadiran mak kat bilik tu..
Semalam cari loceng mak, pun tak jumpa. Dulu mak selalu tekan loceng tu kalau nak panggil kita. Mak dah lemah nak jerit. Abang dengar bunyi kring…kringg…kring…teringat mak tekan loceng tu. Abang cari2. Rupa2nya budak main kereta mainan. Ada loceng kereta mainan tu. Andak sebok tanya mana kain batik balut jenazah mak. Dia letak kat luar bilik air. Abang teringat ada kain batik kat dalam kereta. Abang sangka itu kain mak. Abang nak buat kenangan. Abang dah suka. Dapat juga sehelai. Yang terakhir pula tu. Tentu bau mak masih ada. Rupa-rupanya kain yang abang dapat kain Kain Kak Esah. Kak Esah bagi pinjam nak balut daun pandan. Abang taknak bau kak Esah. Kain mak tak tahu mana pergi. Tak dapat jugak abang nak cium bau mak..
Abang Nampak Dopi kucing mak. Takkan abang nak cium Dopi tu. Memang Dopi kuching mak, tapi bau dia lain. Bau Dopi tak sama dengan bau kain mak. Bau mak jauh sekali. Dah dua hari abang tak nampak Dopi. Ingatkan dia bawa diri. Rupanya hidup lagi. Abang yang tak perasan. Abang memang tak perasan apa-apa. Dulu mak jaga Dopi ni macam jaga anak mak. Mak cakap dengan Dopi macam cakap dengan cucu-cucu mak. Macam Dopi tu faham. Tapi abang selalu jentik telinga Dopi. Abang sergah dia kalau dia gesel2 kaki abang. Sekarang Dopi pun tak mahu dengan abang..
Kalau boleh letaklah barang2 mak tu semula kat tempatnya. Kita semua adik-beradik boleh pergi tengok. Nanti kita selalu teringat mak, kita rajin doa. Boleh solat situ, baca Quran situ. Tidur situ pun boleh. Machine oxygen mak tu pun biar situ. Biar kita selalu ingat susah mak, dari muda sampai tua. Bukan kita tak mahu ‘move forward’, tapi abang nak kita sentiasa ingat mak. Kalau ambil sehelai dua, oklah. Lepas tu, kita kunci bilik mak. Kita bagi anak kunci sorang satu. Baru kita akan selalu balik rumah mak. Kalau tak nanti tentu jarang-jarang balik rumah mak..
Abang pergi dapur tengok susu mak banyak lagi. Abang baru beli, baru luak sikit. Ubat puff inhaler mak pun banyak lagi. Lepas tu abang baring kat bilik sebelah. Kat situ takde orang. Abang tutup lampu. Kepala abang berat. Orang dah start ramai datang nak baca Yasin. Abang cuba nak lelap mata jap. Tapi takleh lelap gak. Abang kelur joint baca Yassin. Time makan, abang takleh makan. Abang dah tak selera. Tak macam masa makan Mac Fish dengan Curly Fries. Abang memang tak prihatin.. Maafkan Aziz Mak…
Uji, dah panjang lebar abang tulis. Abang berhenti kat sini..
Wassalam
Isnin 20 Jan 2014
5.43 pm
Subscribe to:
Posts (Atom)