Tuesday, April 9, 2013

Bahagian sukan - Utusan Malaysia - 8 April 2013.


Beri peluang kepada Putrajaya

Mohd. Shukri Abdul (tiga dari kanan) dan Mohamad Norza Zakaria (empat dari kanan) beramah mesra dengan sebahagian pemain badminton remaja dari pasukan KLBA dan PJBA yang menyertai perlawanan persahabatan di Pusat Kejiranan Persint 11, Putrajaya, semalam. - UTUSAN/MOHD. NAJIB MOHD. NOR

PUTRAJAYA - Bukan mahu menagih simpati tetapi mahu menuntut hak sebagai salah satu ahli gabungan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) demi memastikan pembangunan badminton di peringkat akar umbi tidak terjejas.
Itu perjuangan yang dimahukan oleh Persatuan Badminton Putrajaya (PJBA) yang tidak mahu lagi dianggap sebagai ahli bersekutu BAM sebaliknya menuntut layanan seperti sebuah negeri yang mempunyai entiti sendiri.
Perkara itu ditegaskan oleh Timbalan Presiden PJBA, Datuk Mohd. Shukri Abdul sambil mendapat sokongan penuh Presiden Persatuan Badminton Kuala Lumpur (KLBA) yang juga merangkap Naib Presiden BAM, Datuk Mohamad Norza Zakaria.
''Sudah tiba masanya Putrajaya diberi hak yang sama seperti mana negeri-negeri lain iaitu menjadi antara ahli gabungan BAM dan bukannya ahli bersekutu.
''Beberapa kali kami telah memohon kepada BAM untuk menjadi ahli gabungan penuh tetapi mereka masih belum memberipersetujuan tanpa sebarang alasan.
''Bayangkan kami sendiri terpaksa meminta derma di kalangan ibu bapa pemain bagi menyertai mana-mana kejohanan badminton yang dianjurkan oleh BAM, sampai bila mahu perkara ini berterusan.
''Putrajaya telah membuktikan yang mereka mampu melahirkan ramai produk berkualiti dan beregu kami di bawah kategori 18 tahun telah menjuarai salah satu kejohanan Sirkit Remaja, " kata Shukor pada sidang akhbar mengenai memorandum persefahaman (MoU) antara PJBA dan syarikat pembekal badminton, PROTECH di Presint 11, semalam.
Sementara itu, Norza berkata, perkara itu turut disokong sepenuhnya oleh Norza yang juga Presiden KLBA yang menganggap, PJBA tidak seharusnya dipinggirkan oleh persatuan induk badminton negara itu.
''Putrajaya juga mempunyai pembangunan badminton sendiri dan mereka berhak menikmati peruntukkan seperti mana yang dinikmati oleh negeri-negeri lain.
''Malah di pejabat Pesuruhjaya Sukan, Putrajaya telah diiktiraf sebagai salah satu negeri di Malaysia dan saya harap BAM dapat menyelesaikan permasalahan ini dengan segera
''Perlu diingat, Putrajaya adalah pusat pentadbiran dan di sini ramai kakitangan kerajaan yang tinggal di sini, jadi mereka juga memerlukan layanan yang sama di negeri-negeri lain, " katanya.
PJBA ditubuhkan pada 3 Jun 2009 dan telah menjadi ahli bersekutu semenjak tahun 2010 malahan tidak pernah terlepas mengambil bahagian dalam sebarang kejohanan badminton yang dianjurkan oleh BAM.
Sebelum itu, PJBA telah menerima tajaan tiga tahun yang bernilai RM90,000 bagi alat kelengkapan badminton daripada PROTECH yang diwakili oleh Ronnie Chong. Satu perlawanan persahabatan antara PJBA dan KLBA turut diadakan di Pusat Kejiranan Presint 11 pada awal sebelah pagi.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20130408/su_09/Beri-peluang-kepada-Putrajaya#ixzz2Px4d0cgL
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment